Wanita terkejut air limau dijual dengan harga RM10 secawan

BAZAR Ramadan dan Bazar Raya merupakan antara tempat tumpuan pengunjung untuk berbelanja pada bulan Ramadan ini.

Namun begitu di dalam media sosial terdapat banyak keluhan dan rungutan yang sering dikongsikan oleh netizen berkenaan pengalaman mereka berbelanja di bazar Ramadan atau bazar Raya.

Antara rungutan dan keluhan yang sering dikongsikan ialah berkenaan dengan harga barangan yang dikatakan terlalu mahal dan tidak berpatutan.

Terdapat juga sesetengah pembeli yang mengatakan bahawa peniaga sengaja mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan sewa tapak yang mahal.

Baru-baru ini seorang wanita berkongsikan pengalamannya membeli air di sebuah bazar raya yang terkenal di Kuala Lumpur, dimana dia terkejut dengan harga yang dikenakan untuk air tersebut yang dikatakan terlalu mahal.

“Jual air naik pergi haji balik hari, RM10 satu cup, ” tulis wanita itu di dalam video tersebut.

Wanita itu juga meluahkan perasaan kecewanya apabila peniaga enggan menjawab pertanyaannya berkenaan harga dan terus membungkus air tersebut tanpa persetujuannya.

“Tak payah la beli Air Kat jalan Tar bazar Raya, Rm10 1 cup, bila tanya harga tak nak jawab, terus masuk kan air dalam cup cakap rm10,” tulis wanita itu pada kepsyen hantaran tersebut.

Video tular yang dikongsikan oleh @mokwe.60 itu telah mendapat perhatian ramai dengan mendapat 170, 000 views dan lebih 700 komen. Rata-rata netizen juga memberikan reaksi yang sama dan terdapat juga yang berkongsikan pengalaman mereka di bahagian komen.

“Saya pun dh terkena, konon beli lah sekali dengan anak-anak 3 cup…sekali nak bayar dia cakap RM30. Sy tanya balik, berapa 1 cup? dia ckp rm10,” komen @hawa04.

“Mana boleh niaga takda tanda harga, kalau saya memang tak ambil la air tu saya blah je,” kata @bayusenja.

“Haritu beli cendol cup saiz begini juga dapat kacang jagung cendol homemade sedap sangat rasa mahal dah RM9, rupa nya ada yang lagi mahal,” komen @insan.

Dalam perkembangan yang sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNWPKL) telah menerima empat aduan melibatkan bazar Ramadan menerusi sistem a-aduan termasuk video viral melibatkan air limau harge RM10.

KPDNWPKL dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan penguatkuasaan melalui Ops Pantau dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Tiga daripadanya susulan video viral melibatkan air limau harga RM10, mihun sup harga RM20 di Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dan kuih apam talam (tambah kelapa parut RM2) di Bazar Ramadan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).

“Siasatan anggota penguatkuasa mendapati, individu menjual air limau dan mihun sup adalah peniaga haram dan tidak lagi berniaga di lokasi tersebut, manakala peniaga apam talam tidak beroperasi,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, pihak kementerian mengalu-alukan laporan aduan melalui saluran berikut portal e-aduan.kpdn, Call Centre 1 800 886 800, emel ([email protected]) atau WhatsApp di talian 019-848 8000.

More From Author

Moderate quake strikes off North Sumatra, tremors felt in M’sia

Trump must stop comments before bilateral talks can start

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *