KUALA LUMPUR: Penerbit filem atau drama berunsur keagamaan dan pasukan beruniform dinasihat mendapatkan pengesahan serta persetujuan pihak bertanggungjawab bagi memastikan karya terbitan mereka bersesuaian dan tidak mencetuskan kontroversi.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata mereka boleh merujuk pejabat mufti, jabatan agama atau pengurusan perkhidmatan pasukan beruniform untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan termasuk dalam aspek penghasilan skrip.
“Langkah ini juga bagi memastikan tiada adegan atau skrip berunsur sensitif, kontroversi dan bercanggah dengan nilai keagamaan atau prinsip perkhidmatan beruniform,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini bagi mengulas isu drama bersiri ‘Bidaah’ yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Beliau berkata ketika ini penstriman Viu Malaysia, selaku platform penyiar drama itu tidak tertakluk di bawah skop Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).
Azmir Saifuddin berkata bagaimanapun FINAS akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memberi panduan kepada penerbit dan pengkarya seni dalam menghasilkan karya mereka.
Semalam Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata penerbit drama bersiri ‘Bidaah’ akur dengan teguran dan bersedia memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat negara ini.
Ia susulan adegan Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul di dalam drama itu yang menyentuh janggut Faizal Hussein sebagai Walid menggunakan kakinya sehingga menjadi perdebatan ramai di media sosial.
JAKIM menerusi Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam telah memanggil dan mengadakan pertemuan dengan penerbit ‘Bidaah’ serta meneliti kandungan drama itu merangkumi klip video episod yang mencetuskan kontroversi dan klip video episod yang belum ditayangkan untuk menilai kesan serta implikasi kandungannya.
‘Bidaah’ mula ditayangkan 6 Mac lepas dan diarahkan Pali Yahya serta diterbitkan produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima dengan drama berkenaan berkisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang telah tersebar di sebuah perkampungan dengan mengakui merupakan jelmaan Imam Mahdi kepada para pengikutnya.