KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam yang ditahan dalam Ops Outlander dipercayai menerima bayaran RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap sijil kelahiran yang dikeluarkan melalui sindiket pendaftaran lewat kelahiran.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata penjawat awam berkenaan berperanan membantu proses permohonan pendaftaran lewat kelahiran melebihi tempoh 60 hari selepas tarikh kelahiran.
Beliau berkata setakat ini SPRM telah membekukan 11 akaun bank bernilai RM100,000 dan menyita sejumlah 30 dokumen berkaitan siasatan terhadap sindiket berkenaan.
Katanya, seorang doktor yang ditahan dalam operasi berkenaan dipercayai berperanan menguruskan dokumen penyambut kelahiran.
“Siasatan masih berjalan dan setakat ini tiada tangkapan baharu dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Pada 11 Mac lepas, SPRM menahan 16 individu termasuk seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri kerana disyaki terlibat kes rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata kesemua suspek berusia 20 hingga 70-an ditahan dalam serbuan di beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman di sekitar Lembah Klang dan Johor.
Serbuan berkenaan dijalankan selepas risikan selama kira-kira setahun melalui kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).