TAPAH: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diumumkan selepas mesyuarat khas yang akan diadakan 20 Mac ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata PN telah mempunyai senarai nama calon yang akan dimuktamadkan pada mesyuarat berkenaan.
“Kita ada banyak calon yang boleh diketengahkan, belum ada senarai pendek lagi dan paling penting calon itu calon tempatan,“ katanya kepada pemberita selepas pelancaran jentera PN PRK Ayer Kuning di sini, malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.