Atlet lawn bowls kini dalam program podium, terima sokongan

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berbangga dengan pencapaian atlet lawn bowls yang mencipta nama dan mengharumkan Malaysia di persada antarabangsa.

Hannah berkata pencapaian itu, termasuk kecemerlangan menduduki posisi ranking yang bagus sekali gus menarik perhatian Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memasukkan atlet lawn bowls ke dalam Program Podium.

“Saya rasa sangat bangga dengan pencapaian lawn bowls … mereka mempunyai keputusan ranking yang bagus dan saya yakin ini hasil kerja kuat jurulatih kerana telah membangunkan ramai atlet.

“MSN (Majlis Sukan Negara) juga bersetuju untuk masukkan atlet lawn bowls dalam Program Podium dan ini menjadi hasrat persatuan (Persekutuan Lawn Bowls Malaysia) bagi pastikan atlet mereka terus mendapat sokongan MSN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) di Arena Lawn Bowls Bukit Kiara di sini malam Sabtu (Mac 15).

Pada majlis itu, Hannah turut mengumumkan dana RM30,000 kepada PLBM bagi meneruskan usaha membantu mendidik orang ramai mengenai sukan berkenaan.

Turut hadir Presiden PLBM Datuk Awalan Abdul Aziz dan juara dunia Nor Farah Ain Abdullah yang mengharumkan nama Malaysia apabila muncul pemain nombor satu dunia awal bulan ini.

Sementara itu, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berusaha memberikan yang terbaik dalam membantu PLBM mendapatkan peralatan baharu bagi persiapan ke Sukan Komanwel 2026.

Hannah turut memuji PLBM dan meminta syarikat swasta mempertimbangkan untuk memberikan tajaan kepada persatuan ini.

“Ini persatuan sukan yang bagus dan wajar disokong … boleh hubungi mereka untuk penajaan,” katanya.

More From Author

Police probe alleged abuse of autistic pupil in Kelana Jaya

Lubang benam terbaru di Gua Musang, laluan ditutup penuh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *