KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan berhubung pembayaran rasuah dan penyelewengan yang melibatkan syarikat Sapura Energy Berhad.
Menurut sumber, siasatan dijalankan berdasarkan hasil siasatan awal SPRM pada penghujung tahun 2023, yang melibatkan tuntutan-tuntutan dibuat membabitkan syarikat berkenaan.
“Dua kertas siasatan ini dibuka bagi menyiasat kegiatan pengubahan wang haram dan penyelewengan sekitar tahun 2018, ketika syarikat itu dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Berhad.
“Selain jenayah rasuah, siasatan juga akan memberi tumpuan kepada kelemahan tatakelola dan pengurusan,“ katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan perkara tersebut dan berkata kertas siasatan dibuka mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.