PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengembalikan hukuman mati seorang bekas pemandu lori kerana membunuh isteri dan bayi perempuannya yang berusia tujuh bulan, sembilan tahun lepas.
Secara kebetulan, hari ini adalah ulang tahun kelahiran Satvender Singh yang ke-39.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Dalam penghakiman sebulat suara yang disampaikan oleh Rhodzariah, panel itu berpandangan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Satvender adalah wajar kerana perbuatan tertuduh membunuh isteri dan bayinya tidak mempunyai justifikasi.
Beliau berkata terdapat bukti persekitaran yang tidak dapat disangkal yang menunjukkan bahawa Satvender adalah pelaku jenayah itu.
“Dia adalah orang terakhir yang dilihat bersama mereka sepertimana keterangan jiran terdekat mereka,” katanya.
Rhodzariah juga berkata Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Satvender telah mencipta lokasi kejadian bagi mewajarkan pembunuhan mangsa.
Beliau berkata kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat asfiksia dan berada berdekatan antara satu sama lain dengan inferens kukuh yang menunjukkan bahawa bantal telah digunakan untuk melemaskan bayi terbabit ketika minum susu.
Pada Ogos 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati selepas mendapati Satvender bersalah membunuh D. Kamaljit, 34, dan Ishilyn Kaur Sandhu di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Rawang Perdana 2, Rawang antara 3.55 pagi dan 4.15 pagi 14 April 2016.
Pada November tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan serta hukuman Satvender dan menggantikan pertuduhan terhadapnya kepada menyebabkan kematian tanpa niat membunuh serta menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun.
Mahkamah berkenaan turut membebaskan Satvender daripada pertuduhan membunuh bayinya.
Pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, begitu juga Satvender yang memfailkan rayuan balas memohon agar dibebaskan daripada pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, namun ditolak hari ini.
Terdahulu, peguam Rajpal Singh memohon mahkamah menggantikan hukuman mati Satvender dengan pemenjaraan susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 atas alasan anak guamnya adalah pesalah pertama, telah berada dalam penjara selama lapan tahun dan hari ini merupakan hari jadinya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Mohd Jaafar menggesa mahkamah agar mengekalkan hukuman mati atas alasan Kamaljit telah dicekik manakala kematian bayi perempuannya adalah akibat asfiksia.
Beliau juga berkata jenayah itu telah dirancang dengan teliti termasuk mencipta lokasi kejadian dengan niat yang jelas untuk melindungi perbuatannya serta mengelirukan siasatan polis.
Selain itu, beliau berkata Satvender telah secara fizikal dan mental mendera Kamaljit sebelum kematiannya.
S. Arvind, yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak ibu Kamaljit, turut menggesa agar mahkamah mengembalikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Satvender kerana kematian wanita itu telah menyebabkan wujud ‘kehilangan yang tidak boleh diganti’ dalam keluarganya.