Isu ‘Pak Cik Petai’ selesai, MPPD beri lesen sementara

PORT DICKSON: Perselisihan faham antara ‘Pak Cik Petai’ dengan penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) berhampiran sebuah pasar raya di sini yang tular di media sosial baru-baru ini, telah diselesaikan secara baik dan harmoni.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Tanjung Dr G.Rajasekaran menerusi catatan di Facebooknya berkata MPPD bersetuju untuk memberikan lesen sementara kepada peniaga petai berkenaan, Mohd Noor Saad untuk menjalankan perniagaan secara sah.

Beliau berkata Yang Dipertua MPPD Hasnor Abd Hamid dan peguat kuasa terlibat juga sudah bertemu peniaga itu di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang di sini malam tadi.

“Pertemuan ini dapat meredakan ketegangan dan memberikan penyelesaian yang adil kepada semua dan pihak MPPD juga akan terus memantau situasi bagi memastikan tiada lagi isu seumpama ini berlaku pada masa hadapan,“ katanya.

Rajasekaran berkata pihaknya turut menyampaikan sumbangan, mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, sebagai ganti rugi petai yang tidak dapat dijual semalam.

Terdahulu tular sebuah video memaparkan peniaga petai itu mencampak beberapa petai yang dijualnya ke atas jalan.

Tindakan itu dipercayai sebagai protes selepas dihalang berniaga oleh penguatkuasa MPPD dan diarah untuk menghentikan perniagaan yang dibuat di kawasan parkir berhadapan sebuah pasar raya.

More From Author

Seniman upgrades portal for local arts industry

Kerajaan MADANI sentiasa hargai golongan agama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *