Tolak suara sumbang pecah belah masyarakat majmuk

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia harus menolak suara-suara sumbang yang cuba memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata perpaduan adalah asas kepada kestabilan dan kemajuan negara dalam membina Malaysia MADANI.

“Justeru, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kita mesti menjaga keharmonian dan memupuk semangat muhibah dalam kalangan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,“ katanya dalam majlis Sentuhan Kasih Ramadan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini hari ini.

Nga berkata bulan Ramadan menjadi lambang penyatuan untuk menggalakkan nilai-nilai sejagat seperti kesabaran, keikhlasan dan semangat kebersamaan.

Katanya semua pihak harus mengambil peluang untuk memahami antara satu sama lain, saling menghormati serta memperkukuh ikatan kekeluargaan dan persaudaraan di tempat kerja, selaras dengan slogan KPKT iaitu #StrongerTogether, #UnityInDiversity dan #DemiPertiwi.

Nga berkata beliau berharap usaha-usaha yang dijalankan oleh KPKT termasuk Tandas Awam Bersih, Menawan, Wangi (BMW) dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menurutnya hampir 12,000 tandas awam di seluruh negara telah dinaik taraf dengan kos kira-kira RM900 juta setakat hari ini.

Nga berkata atas inisiatif KPKT itu, Plus Highway juga telah membelanjakan RM18 juta untuk menaik taraf 34 tandas awam di kawasan rehat dan rawat (R&R) sepanjang lebuh raya utama.

Selain itu, beliau berkata KPKT juga telah banyak mempromosikan konsep ‘sisa sifar’ untuk memupuk kesedaran awam mengenai kepentingan kelestarian.

Nga turut mengingatkan masyarakat yang bermain mercun dalam musim perayaan agar menjauhi kawasan perumahan dan kenderaan supaya tidak berlaku risiko kebakaran.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 136 individu terdiri daripada 37 asnaf dan 99 warga KPKT daripada Gred H1.

More From Author

Wanita cemas rumah disamun empat lelaki bersenjatakan pisau

Reject divisive voices that threaten multiracial unity

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *