Syed Saddiq berniat jahat guna alasan ‘political mileage’

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berniat jahat dengan berselindung di sebalik alasan ‘political mileage’ semasa mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta di dalam akaun dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata Syed Saddiq mengetahui bahawa perbuatannya mengarahkan saksi pendakwaan ke-13 (SP13) Rafiq Hakim Razali untuk mengeluarkan wang itu atas alasan khuatir akan berlaku pergolakan dalam parti dan wang dalam akaun itu adalah hasil titik peluhnya, adalah suatu tindakan salah.

Beliau berkata arahan diberikan oleh perayu (Syed Saddiq) kepada SP13 mempunyai kaitan rapat dengan Sheraton Moves pada Februari 2020, dengan Sheraton Moves merupakan pergolakan politik dalam sejarah Malaysia hingga menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan.

“Keterangan SP11 (Ahmad Redzuan Mohamed Shafi) dan SP13 adalah jelas, perayu (Syed Saddiq) khuatir pertukaran pucuk pimpinan di dalam Bersatu atau Armada sebelum pengeluaran wang berkenaan. Kami menyatakan alasan (political mileage) ini menunjukkan niat jahat perayu apabila mengeluarkan wang itu.

“Perayu seolah-olah menjadikan wang dalam akaun Armada seperti miliknya sendiri yang boleh beliau gunakan sewenang-wenangnya tanpa membuat sebarang kertas kerja.

“Perayu juga tidak memaklumkan kepada SP13 sama ada beliau sudah mendapat kelulusan daripada sesiapa untuk mengeluarkan wang terbabit,“ katanya pada hari kedua pendengaran rayuan Ahli Parlimen Muar itu terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan berkaitan dana Armada.

Wan Shaharuddin berkata keterangan SP13 berkenaan pengeluaran RM1 juta bagi ‘political mileage’ perayu juga tidak dicabar oleh pihak pembelaan, namun sehingga kini tiada langsung penjelasan mengenai perkara itu dalam bentuk keterangan di mahkamah.

“Perayu mempunyai beban di bawah Seksyen 9 Akta Keterangan 1950 untuk memberikan penjelasan mengapa beliau menggunakan alasan pertukaran pucuk pimpinan dalaman Bersatu atau Armada sebagai satu daripada alasan untuk memberi arahan kepada SP13 supaya mengeluarkan RM1 juta daripada akaun rasmi Armada.

“Apakah maksud Syed Saddiq apabila beliau menyatakan wang dalam akaun Armada adalah hasil titik peluhnya dan boleh menggunakan wang dalam akaun itu sepenuhnya?

“SP13 sebenarnya menjadi alat kepada perayu. Sama juga ahli-ahli WhatsApp group Valued Add yang dijadikan alat untuk perayu membersihkan imej sehingga sanggup mengheret ibu bapanya yang tidak bersalah di dalam masalah yang dia sendiri menjadi puncanya,” katanya.

Pada 9 Nov 2023, Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Syed Saddiq, 32, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Bekas Ketua Armada itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Prosiding pendengaran di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin bersambung 17 April ini.

More From Author

Motorcycle vs car: Who’s at fault?

Ex-police officer escapes death penalty, acquitted of murder

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *