BARU-BARU ini tular tentang seorang pempengaruh (infuencer) menjual kek coklat terlalu mahal sehingga ditegur oleh netizen.
Masih hangat diperkatakan berkenaan harga, walaupun pempengaruh yang dikenali sebagai Fendymojo itu telah mengurangi harga jualannya. Timbul satu lagi isu yang membuatkan netizen mempersoalkan kualiti produknya itu.
Pada Rabu 19 Mac seorang wanita telah membuat hantaran sebuah video berbentuk ulasan (review) berkenaan kek yang dibelinya daripada pempengaruh tersebut.
Melalui video tersebut dapat dilihat kek yang baru sahaja dibuka itu telah berkulat, membuatkan wanita itu mempersoalkan kualiti kek tersebut dan adakah kek tersebut sudah lama.
Perkara ini membuatkan netizen lebih mempersoalkan kualiti produk tersebut yang dijual dengan harga yang agak mahal.
Fendymojo juga telah membuat satu hantaran melalui akaun TikToknya untuk memberikan penjelasan dan video balas terhadap review tersebut. Dia mengatakan kek tersebut baru sahaja dibuat namun mungkin bermasalah dari segi penyediaan sebelum penghantaran.
“Kek ni memang freshly baked, tapi aku punya penyediaan masa postage tu kurang tepat,” katanya di dalam video tersebut.
Fendymojo juga meminta maaf dan juga bertanggung jawab atas kesilapannya itu dengan menggantikan kek yang baharu atau pemulangan wang.
“Aku minta maaf sangat-sangat dan aku pun dah reply video tu untuk ganti baru ataupun full refund,” tambahnya.
Dia juga mengakui kesilapan itu dan berkata akan memperbaikinya untuk masa akan datang.
“Jadi apa yang berlaku dekat sini, sepenuhnya aku bertanggungjawab. Aku pun repost juga video ni, supaya siapa yang tengah tengok ataupun sudah beli boleh aware.“
“Daripada kelmarin aku dah upgrade lagi cara penyediaan dan packaging masa postage,” katanya.