Menyoroti konflik antara gajah dan manusia, khususnya di Perak, artikel terakhir daripada laporan tiga bahagian ini berkongsi langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Perhilitan Perak bagi melindungi kepentingan manusia dan juga “abang besar” itu.
IPOH: Perak, khususnya di daerah Hulu Perak, cukup sinonim dengan gajah liar yang kerap dilapor memusnahkan tanaman serta harta benda penduduk kampung, dan kemunculan haiwan ini di satu-satu kawasan lazimnya akan mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat, khususnya pekebun.
Gajah, sepertimana harimau Malaya, tapir, harimau kumbang serta kebanyakan spesies mamalia besar lain, adalah antara haiwan yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Justeru, dalam menjaga kepentingan kedua-dua – manusia dan gajah – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) mengambil pendekatan ibarat menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung pula jangan terserak.
PAGAR ELEKTRIK
Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini, Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Sharif berkata langkah-langkah yang diambil mereka termasuk memasang pagar elektrik di lokasi yang kerap berlaku serangan gajah, iaitu di Sungai Siput dan Gerik.
“Setakat ni kita ada lima pagar elektrik, melibatkan jarak keseluruhan lebih kurang 85 kilometer. Pagar elektrik ini kita pasang bagi menghalang gajah daripada masuk ke kampung-kampung dan ke kawasan pertanian.
“Yang kedua, kita melakukan operasi halau. Apabila terima aduan, kita akan ke lapangan dan membuat operasi halau, sama ada melalui tembak (ke udara) dengan senjata api atau dengan membuat bising bagi menakutkan gajah supaya masuk semula ke hutan.
“Bagaimanapun sekiranya gajah berkenaan tetap enggan berpatah balik masuk ke hutan, maka operasi tangkap pindah akan dilakukan,” jelasnya.
Beliau berkata Perhilitan Perak turut bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan kesedaran awam tentang konflik gajah-manusia, dan seterusnya mengambil langkah pencegahan.
“Antaranya, kita nasihatkan mereka (orang awam) memasang pagar elektrik sendiri atau membuat halangan fizikal seperti pembinaan parit. Untuk kes-kes tertentu macam di Jalan Gerik-Jeli, kita letakkan papan tanda (amaran tentang gajah) dan ada di lebih kurang 15 kawasan sekarang.
“Kita juga pasang lampu dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya untuk membolehkan pengguna jalan raya nampak lebih jelas keadaan sekeliling dan memandu dengan berhati-hati sekiranya terdapat haiwan,” katanya.
Selain itu, Perhilitan juga memasang kolar satelit pada haiwan berkenaan, terutamanya gajah betina yang merupakan ketua kumpulan, bagi memantau pergerakan haiwan terbabit.
“Jadi, kita akan tahu pergerakan dia (gajah) apabila dia dah dekat nak sampai ke kebun, misal kata ke kampung orang, kita akan ada pasukan untuk halau balik.
“Seterusnya, kita ada juga buat kajian sosioekonomi tentang konflik gajah ini, antaranya tentang kerugian dia (mangsa) dan penerimaan masyarakat. Ini kita ada kerjasama dengan beberapa universiti,“ jelas beliau.
SANTUARI GAJAH
Selain itu, Yusoff berkata sebuah pusat perlindungan gajah, iaitu Santuari Gajah Perak, akan dibuka di Gerik bagi menempatkan gajah-gajah “bermasalah” atau yang menimbulkan konflik dengan manusia.
Beliau berkata secara dasarnya, kerajaan Perak telah bersetuju memberikan kawasan seluas 200 ekar (80.9 hektar) di Batu 11, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, untuk dijadikan santuari gajah tersebut.
Menurut beliau, pelan pembangunan santuari itu meliputi dua komponen utama, iaitu konservasi gajah dan ekopelancongan.
“Usaha pemuliharaan gajah akan merangkumi pendidikan, keselamatan dan lain-lain, sementara komponen ekopelancongan bertujuan memanfaatkan kawasan Taman Negeri Royal Belum dan Lenggong Geopark,” katanya.
Yusoff berkata pelan pembangunan santuari itu akan diusulkan di bawah Rancangan Malaysia ke-13.
“Kita telah bentang pelan ini di peringkat ibu pejabat Perhilitan dan selepas ini akan bentang di peringkat Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebelum ke Kementerian Ekonomi.
“Walaupun masih di peringkat cadangan, Perhilitan dan kerajaan Perak komited untuk melaksanakan projek ini. Namun, terserah kepada kerajaan pusat untuk menimbang,” katanya.
Jelas Yusoff, kewujudan santuari itu dijangka dapat mengurangkan konflik gajah-manusia di Perak sebanyak 50 hingga 60 peratus.
“Dia (gajah) merayau-rayau kerana nak cari makanan, tetapi kalau makanan cukup, insya-Allah dia tidak akan tersasar jauh sangat (berkeliaran).
“Justeru, kita akan uruskan kawasan (santuari) itu agar serba-serbi mencukupi untuk gajah yang ditempatkan di situ, seperti kolam untuk haiwan ini mandi, dan paling penting makanan mesti dipastikan cukup,” tegasnya.
Menurut beliau lagi, pembinaan santuari itu juga secara tidak langsung memberi imej positif kepada negeri dan negara di peringkat antarabangsa kerana peka dengan kebajikan haiwan liar di sebalik pembangunan yang dilakukan.
KEKANGAN
Menjawab tohmahan segelintir pihak bahawa Perhilitan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kehadiran gajah di JRTB Gerik-Jeli yang berisiko membahayakan pengguna lebuh raya itu, Yusoff berkata pihaknya mempunyai unit khas yang melakukan rondaan bagi menghalau haiwan berkenaan kembali ke hutan, terutamanya ketika musim perayaan.
“Namun disebabkan lokasi gajah berpotensi muncul adalah dalam jarak lebih 100 km (jauhnya), keadaan jalan yang banyak selekoh, berbukit dan tiada liputan telefon, maka pasukan ini tidak dapat ke lokasi dengan cepat. Malah, biasanya kami tidak terima aduan ketika kejadian berlaku,” jelasnya.
Menurut beliau, Perhilitan mengenal pasti kira-kira 35 lokasi berpotensi untuk gajah-gajah tersebut berkeliaran di lebuh raya berkenaan.
“Biasanya petugas kami akan buat bising dengan mengetuk tin dan menjerit bagi menghalau gajah yang berkeliaran di jalan raya, dan kita cuma guna mercun atau tembakan ke udara jika haiwan berkenaan berdegil tidak mahu masuk semula ke hutan.
“Tetapi kadang-kadang haiwan ini macam kenal kakitangan kami. Seperti kera yang akan cepat-cepat lari sebaik ternampak kenderaan kami, gajah juga begitu. Mungkin sebab haiwan ini sudah kaitkan kita dengan bunyi bising halau mereka, jadi bila nampak, mereka terlebih dahulu lari.
“Kalau ada yang tak berganjak pun kita cuma perlu jerit dan mereka akan beredar masuk semula ke hutan,“ katanya.
Bagaimanapun beliau menasihati orang ramai agar tidak mengambil tindakan serupa kerana dibimbangi membahayakan keselamatan diri mereka.
GUNA JRTB DI WAKTU TERTENTU
Pada masa sama, Yusoff berkata sebaiknya pengguna jalan raya dari Gerik ke Jeli merancang perjalanan mereka dan hanya gunakan laluan itu dari 11 pagi hingga 4 petang bagi mengurangkan potensi bertembung dengan gajah.
“Dari 11 pagi ke 4 petang, biasanya gajah ini tiada pada waktu itu. Dia (gajah) ada di jalan itu pada awal pagi dengan awal malam dan malam. Jadi, bagi siapa-siapa yang bimbang bertembung dengan haiwan ini, gunakan laluan itu pada tempoh berkenaan,” katanya.
Menurutnya, haiwan itu kurang aktif dalam tempoh tersebut dan selalunya berehat di kawasan teduh.
“Maksudnya, haiwan ini lazimnya berada di dalam hutan, sama ada berkubang ke, berehat ke, dia tidur. Jadi dalam tempoh itu dia tidak akan ada di tepi jalan,” katanya, menambah antara faktor yang mendorong gajah berkeliaran di tepi jalan ialah rumput.
“Di sepanjang jalan banyak rumput, jadi mereka ini datang untuk makan rumput-rumput tersebut,” katanya.
JANGAN BERI MAKAN
Yusoff berkata haiwan seringkali bertindak balas terhadap alam sekitar atau tekanan yang dihadapinya, justeru manusia tidak digalakkan terlalu campur tangan dalam kehidupan haiwan liar kerana berpotensi mengubah tabiat haiwan terbabit.
“Contoh kera. Kita nasihatkan orang ramai jangan bagi makan kera kerana dia (kera) akan bertukar tabiatnya. Dia tak reti (pandai) dah (cari) makan (sendiri), asyik meminta-minta sahaja.
“Dia tak nak makan dah buah-buah dalam hutan, (apabila) dia nampak manusia, dia fikir ada makanan,“ katanya.
Sehubungan itu, Yusoff berkata pihaknya bimbang jika gajah juga berubah tabiat akibat campur tangan manusia yang memberikan haiwan berkenaan makanan.
“Kami nasihatkan supaya orang ramai khususnya pengguna jalan raya Gerik-Jeli tidak memberi atau mencampakkan apa-apa makanan kepada gajah sebab kita bimbang perbuatan ini akan menyebabkan perlakuan dan tabiat dietnya berubah.
“Gajah akan menunggu sepanjang jalan untuk menerima makanan dan bilangannya akan bertambah serta (akan keluar dari hutan) tidak menentu masa,“ katanya.
Menurutnya, perkara itu sememangnya berlaku apabila gajah-gajah terbabit pergi ke tempat pembuangan sampah bagi mencari sisa makanan yang dibuang oleh penduduk.
“Dia pergi tempat pembuangan sampah, dia makan sampah, dia pergi ke rumah orang (sebab) dia bau garam kerana sudah terbiasa mendapat makanan manusia yang ada garam.
“Oleh sebab itu berlaku kes gajah robohkan rumah orang… sebenarnya dia terbau benda masin, bau garam, maka gajah mencari punca bau garam itu,“ katanya.
Jelas beliau, hidupan liar di hutan sememangnya memerlukan garam mineral semula jadi yang boleh diperoleh daripada jenut (tempat haiwan menjilat garam).
“Kita sediakan jenut tiruan (di hutan) dan boleh dikatakan haiwan-haiwan liar akan bergilir-gilir pergi jilat garam itu.
“Di negeri Perak ini kita ada lebih kurang 10 lokasi yang kita letakkan jenut tiruan untuk membantu hidupan liar ini dapat mineral tersebut,“ katanya.
BANTUAN MASYARAKAT
Sementara itu, Yusoff berkata usaha memelihara dan memulihara flora dan fauna, terutama spesies yang terancam, di negara ini memerlukan kerjasama seluruh rakyat, bukan hanya pihak berkuasa seperti Perhilitan dan NGO.
Beliau berkata antara perkara yang harus diberi perhatian oleh orang awam ialah membuat laporan kepada pihak penguat kuasa sekiranya mengetahui berlaku kegiatan mencurigakan, termasuk pemburuan haram.
“Saya juga nasihatkan sesiapa sahaja yang ada hidupan liar, yang dibela secara haram, tolong beritahu kepada kami, buat beberapa pengisytiharan untuk kita berikan lesen. Kalau kita tak boleh (beri lesen), serahkan kepada kami sebab mulai Februari tahun lepas, sebahagian daripada akta kita dah dipinda dan hukuman lagi berat.
“Saya risau (perkara) ini, saya tengok dalam (laman sosial) TikTok banyak yang tayang dia dengan kera, dengan beruk, dengan burung tertentu, yang (semuanya) dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang,“ katanya.