KUALA LUMPUR: Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan RM17,000 kepada pembantu pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bagi membantu proses permohonan sijil kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu, minggu lepas.
Yap Foo Siong, 57, yang bekerja sebagai seorang buruh dan Ang Lay Peng, 40, seorang penjaja makanan, didakwa bersama-sama memberi suapan wang tunai itu kepada Pembantu Pendaftaran Gred KP1 JPN di Putrajaya, sebagai upah untuk membantu proses permohonan sijil kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu iaitu dokumen daftar kelahiran JPN.LM01 dan surat pengesahan bersalin.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran makanan segera di Presint 2, Putrajaya pada 9.50 pagi, 11 Mac.
Pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi menawarkan jaminan RM90,000 bagi setiap tertuduh, berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Ethan W.H Tan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan RM2,000 dengan alasan anak gumnya menanggung keluarga.
“Yap sudah berkahwin dan mempunyai dua anak masing-masing berusia 10 dan 15 tahun, dan seorang daripada anaknya akan menjalani pembedahan tulang belakang yang melibatkan kos rawatan RM70,000.
“Ang pula seorang ibu tunggal dan mempunyai dua anak masih bersekolah serta menanggung ibunya yang baru sahaja menjalani pembedahan jantung,” kata peguam itu.
Hakim Suzana Hussin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 22 April ini untuk sebutan kes.