PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mengetatkan kawalan di perairan negeri itu susulan perubahan taktik sindiket penyeludupan yang kini menggunakan bot nelayan berkapasiti besar bagi mengaburi pihak berkuasa.
Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata pemantauan rapi dilakukan berikutan sindiket tidak lagi bergantung kepada bot pancung seperti sebelum ini.
Beliau berkata tangkapan pada Januari lepas membuktikan perubahan modus operandi itu apabila sebuah bot nelayan dikesan membawa kira-kira 2,100 peti rokok seludup bernilai lebih RM13 juta.
“Sebelum ini, kita lebih kerap mengesan bot pancung yang membawa muatan kecil dan mendarat sebentar sebelum meninggalkan lokasi. Namun, kini mereka menggunakan bot nelayan bersaiz besar untuk membawa masuk jumlah barangan yang lebih banyak dalam satu perjalanan,” katanya kepada pemberita di sini.
Erwan Shah berkata tindakan itu dipercayai bagi mengelak dikesan susulan penguatkuasaan lebih ketat di sempadan darat dan sungai.
Beliau berkata hasil risikan juga menunjukkan terdapat kemungkinan bot nelayan tempatan digunakan dalam aktiviti berkenaan, namun perkara itu masih dalam siasatan.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia meningkatkan kerjasama dengan komuniti nelayan bagi mendapatkan maklumat berhubung sebarang pergerakan mencurigakan di perairan negara.
“Kami menyeru komuniti nelayan supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kerana kerjasama ini amat penting dalam mengekang ancaman penyeludupan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Erwan Shah turut memaklumkan pencerobohan bot nelayan asing semakin berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Hal ini dipercayai berpunca daripada tindakan tegas Malaysia yang berulang kali menghantar bantahan rasmi melalui Kementerian Luar Negeri serta ancaman sekatan berkaitan penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU).
“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, belum ada sebarang tangkapan melibatkan bot nelayan asing berbanding tahun lepas, apabila kita membuat tangkapan seawal Februari. Ini menunjukkan keberkesanan tindakan yang diambil,” katanya.
Sementara itu, Erwan Shah berkata operasi pemantauan akan terus dipertingkatkan sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat serta bebas daripada aktiviti jenayah rentas sempadan.