Dua pemandu lori ditahan bersama ganja RM500,000

KEPALA BATAS: Polis menahan dua pemandu lori warga tempatan disyaki ahli sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, serta merampas 146.590 kilogram (kg) ganja dan 1.075kg bunga ganja bernilai RM500,000 pada dua serbuan operasi khas di Pulau Pinang pada Sabtu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata pasukan JSJN Bukit Aman, turut merampas sepucuk pistol model Sig Sauer, dua kelopak peluru kosong dan tiga gari pada operasi itu.

Beliau berkata suspek berusia 24 tahun dipercayai bertindak sebagai sweeper bagi memantau laluan, untuk memastikan tiada polis di sepanjang jalan hendak dilalui kenderaan membawa dadah dipandu suspek berumur 46 tahun, dengan mereka dibayar RM4,000 bagi setiap penghantaran.

“Suspek pertama berusia 46 tahun ditahan di kawasan Plaza Tol Sungai Dua menghala selatan pada 9.20 pagi dan pemeriksaan ke atas Honda CRV dipandunya, menemukan tujuh guni berisi 146 ketulan mampat ganja dan lima paket bunga ganja di tempat menyimpan barang dan tempat duduk belakang.

“Suspek kedua pula ditahan pada 9.25 pagi di kawasan Plaza Tol Juru, juga arah selatan, iaitu kira-kira 18 kilometer di hadapan suspek pertama dan tiada dadah ditemukan dalam kereta Toyota Altis dipandunya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini hari ini.

Mat Zani berkata suspek pertama juga bertindak agresif dengan melanggar kenderaan polis untuk meloloskan diri, sebelum berjaya ditahan.

Beliau berkata rampasan ganja itu, merupakan terbesar setakat ini dengan bunga ganja itu jarang ditemukan kerana berkualiti tinggi serta lebih mahal berbanding ganja iaitu RM30,000 sekilogram, manakala ganja mampat itu RM3,000 sekilogram.

Sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan menyeludup dadah itu dari Thailand untuk diedarkan di Lembah Klang selain turut aktif di negeri utara khususnya Kedah, dengan menggunakan kereta sewa bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan awal juga mendapati senjata, peluru dan gari itu juga diseludup, kerana dijual bersama pakej lebih 100kg ganja yang dibeli daripada rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa di sana,” katanya.

Mat Zani berkata polis turut menyita wang tunai RM5,710, kereta Toyota Altis dan pelbagai barangan kemas iaitu rantai leher, cincin serta anting-anting dengan semuanya bernilai RM116,970.

Beliau berkata dua suspek terlibat mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, selain ujian air kencing mendapati suspek pertama positif ganja.

Mereka kini direman sehingga 22 Mac bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

More From Author

Fahmi confident PKR delegates will elect right leadership team

Raya cookies for security teams, health workers in Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *