JERANTUT: Kementerian Pengangkutan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen mana-mana syarikat bas ekspres yang sengaja menaikkan harga tambang bagi kategori ekonomi menjelang Aidilfitri.
Menterinya Anthony Loke berkata pihaknya ada menerima aduan berkaitan kenaikan harga tambang oleh pengendali syarikat bas ekspres daripada orang ramai khususnya perjalanan dari ibu kota menghala ke Pantai Timur sempena hari raya.
“Perkara ini (kenaikan tambang), saya telah minta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyiasat syarikat bas terbabit. (Perkhidmatan bas) ada dua jenis kategori, iaitu bas ekonomi dan eksekutif. Kalau bas ekonomi, (harga) tambang memang dikawal dan tidak boleh naik sesuka hati.
“Satu lagi kategori, bas eksekutif, ada perkhimdatan tambahan (dan harga tiket ini) memang tidak dikawal. (Walaupun tidak dikawal, kategori) eksekutif pun kita akan lihat, kalau harga naik keterlaluan, kita akan ambil tindakan. Jadi, kita kena siasat dulu apa kategori kenaikan tambang ini,” katanya.
Loke berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga tambang bas ekspres sehala dari ibu kota ke Pantai Timur sempena Aidilfitri yang didakwa meningkat dua kali ganda selepas Program Pertukaran Topi Keledar di sini hari ini.
Beliau berkata pengendali bas ekspres telah diberikan kebenaran untuk mengenakan surcaj 10 peratus ketika tempoh perayaan dan tidak boleh lebih daripada itu.
Loke pada 22 Mac 2024 dilaporkan berkata surcaj 10 peratus bagi tambang bas ekspres pada musim perayaan dibenarkan dengan mengambil kira beberapa aspek termasuk tambahan kapasiti perkhidmatan bas dan pembayaran bagi sewa bas.
Beliau berkata kenaikan surcaj 10 peratus bukan suatu perkara yang baharu, namun telah dilaksanakan sejak 20 tahun lepas iaitu dibenarkan seminggu sebelum dan seminggu selepas hari perayaan.
Dalam pada itu, Loke berkata operasi bersepadu sempena Aidilfitri akan dilaksanakan mulai 24 Mac hingga 8 April ini di seluruh negara yang bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.
“Ada beberapa kawasan telah kita kenal pasti sebagai hotspot, di Pahang sahaja ada 36 lokasi. Kita akan menempatkan pegawai (dan anggota) JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) di (lokasi) hotspot tersebut,” katanya.
Mengenai program hari ini, Loke berkata ia akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya penunggang dan pembonceng motosikal akan kepentingan pemakaian topi keledar menepati piawaian keselamatan.
“Pada hari ini, pihak kementerian dan JPJ menyerahkan 500 unit topi keledar kepada penduduk Jerantut sebagai satu daripada usaha untuk meningkatkan keselamatan di jalan raya. Apa yang saya lihat tadi, kebanyakan topi keledar dibawa orang ramai memang tidak sesuai lagi digunakan,” katanya.