SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan dan komitmen untuk terus menyiasat sebarang maklumat yang dikaitkan dengan siasatan kes melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata ini bermakna, siasatan pihaknya tidak akan terhenti kepada perlakuan rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan penemuan wang tunai serta jongkong emas bernilai RM177 juta sahaja.
“Setakat ini siasatan dan rakaman percakapan berjalan lancar.
“Sekiranya timbul isu-isu baru, saya memberi jaminan SPM akan terus menyiasat walaupun isu itu baru timbul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima watikan pelantikan sebagai Profesor Adjung di Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang disampaikan oleh Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin di sini hari ini.
Berhubung perkembangan siasatan kes itu, Azam berkata sesi rakaman percakapan akan diteruskan kerana masih banyak perkara yang perlu disoal dan dijawab oleh perdana menteri kesembilan itu.
Azam berkata siasatan tidak tertumpu kepada isu berkaitan perolehan serta perbelanjaan dana bagi promosi Keluarga Malaysia sahaja, tetapi turut menjurus kepada maklumat baharu serta hasil risikan termasuk fail-fail serta dokumen yang dibuka berkaitan aset yang diisytiharkan Ismail Sabri.
“Selain itu, beliau (Ismail Sabri ) juga perlu menjawab tentang isu-isu rasuah yang dikaitkan serta ditohmahkan terhadap beliau untuk membantu siasatan,” katanya.
Hari ini, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sekali lagi dirakam percakapan hampir tujuh jam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, selepas diambil keterangan kira-kira enam jam, pada Jumaat dan Khamis lepas.
Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri dikategorikan sebagai suspek kes terbabit selepas beberapa saksi, termasuk beliau sendiri dipanggil memberi keterangan.
Ia susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah rumah, hasil serbuan SPRM.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.