KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang daripada 25 rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar pada 12 Mac lepas, setelah siasatan mendapati dia dipercayai berperanan merekrut warga tempatan untuk sindiket berkenaan.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus berkata lelaki berusia 20 tahun itu ditahan selepas polis melakukan tapisan dan soal siasat terhadap kesemua mangsa yang dibawa pulang menerusi bas dari Wilayah Tak, Thailand pada tarikh berkenaan.
“Kita teruskan menyelamatkan mereka sebelum ini… tetapi bukan semua mereka ini adalah mangsa. Daripada 25 orang itu, hanya enam individu adalah mangsa sebenar.
“Mereka ini (mangsa) kita akan beri perintah perlindungan sementara dan dalam tempoh siasatan kita akan ketatkan perlindungan, manakala selebihnya bukan mangsa sebenar. Jadi, berkemungkinan mereka ini perekrut, pemudah cara dan pernah pergi ke sana sebelum minta diselamatkan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki itu akan ditahan reman tujuh hari sehingga 20 Mac ini untuk siasatan lanjut dan polis telah membuka lima kertas siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Antipermerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) (Akta 670) membabitkan kontinjen Kuala Lumpur dan Johor.
Rakyat Malaysia lain yang diselamatkan itu pula masih disiasat dan telah memperoleh perintah perlindungan sementara selama 21 hari.
Pada 12 Mac lepas, 25 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dibawa pulang melalui Mae Sot, Wilayah Tak, utara Thailand selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Myanmar kepada Kedutaan Malaysia melalui pihak berkuasa Thailand.
Sementara itu, 489 laporan polis diterima sejak 1 Jan 2021 hingga 13 Mac lepas melibatkan 637 individu berusia antara 22 hingga 39 tahun yang disyaki menjadi mangsa penipuan pekerjaan di luar negara termasuk di Myanmar, Kemboja dan Laos.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 504 orang telah diselamatkan, manakala 133 orang masih terkandas di luar negara yang melibatkan 517 lelaki dan 120 wanita.
“Siasatan mendapati 83 peratus daripada mangsa mempunyai latar belakang pendidikan sehingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, dan medium utama tawaran pekerjaan yang diterima adalah melalui platform media sosial seperti Facebook, Telegram dan WeChat, selain pelawaan rakan atau ahli keluarga.
“Kajian PDRM juga mendapati tidak semua individu yang diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia memenuhi takrifan mangsa di bawah Akta ATIPSOM,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata lebih 70 peratus daripada mereka mengetahui jenis pekerjaan yang ditawarkan sebelum tiba di destinasi, termasuk pekerjaan berkaitan jenayah seperti penipuan dan perjudian, menunjukkan bahawa mereka tidak diperdayakan sepenuhnya,
Fadil berkata sejak tahun 2022 hingga kini, Bahagian D3 ATIPSOM berjaya menumpaskan enam sindiket yang merekrut rakyat Malaysia untuk pekerjaan terbabit.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terhadap tawaran pekerjaan di luar negara melalui media sosial yang sering menjanjikan tawaran gaji lumayan serta kemudahan sebagai modal untuk memancing mangsa.