MELAKA: Bekas wartawan sambilan Jaafar Ne’emat meninggal dunia di Hospital Alor Gajah hari ini.
Anak Allahyarham, Adi Lodfi, 54, memaklumkan Jaafar yang berusia 81 tahun menghembuskan nafas terakhir pada 8.30 pagi tadi.
Adi Lodfi berkata bapanya mengalami serangan jantung kira-kira 3 pagi tadi dan dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Alor Gajah.
“Walaupun uzur keadaan ayah baik sahaja sepanjang bulan puasa ini hinggalah malam tadi. Awal pagi tadi dia tiba-tiba alami serangan jantung,“ katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata jenazah akan dimandi dan dikafankan di Hospital Alor Gajah, seterusnya dibawa balik ke rumah arwah di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah sebelum dijangka dikebumikan selepas zuhur di Masjid Ubaidah, Kampung Melaka Pindah.
Jaafar yang lebih dikenali Cikgu Jaafar berkecimpung selama 20 tahun dalam dunia kewartawanan dan pernah menjadi wartawan sambilan di Utusan Malaysia, Berita Harian dan Melaka Hari Ini (MHI).
Allahyarham juga merupakan Yang Dipertua Kelab Media Melaka dari 2010 hingga 2015.
Bapa kepada lima anak itu disahkan menghidap penyakit jantung pada Mei 2023 dan sejak itu menerima rawatan susulan di Hospital Alor Gajah dan Institut Jantung Negara.
Allahyarham juga merupakan penerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA yang disampaikan oleh Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj yang juga Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama (kini Ketua Pengarang Bernama) pada 26 Jan 2024.